KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa tindakan dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang diluluskan.
Dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di Facebook miliknya, Lim berkata tindakan perlu diambil bagi mengelakkan kementerian lain mengulangi perkara sama yang didakwa boleh menjejaskan khazanah serta kestabilan kewangan negara.
Menurutnya, perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan juga menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap prosedur dan tatacara kewangan kerajaan.
Lim turut mempersoalkan pihak yang menerima kontrak di bawah KKDW serta sama ada proses pemberian kontrak dibuat secara telus, terbuka dan mengikut peraturan ditetapkan.
Berdasarkan maklumat Kementerian Kewangan, beliau berkata KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Katanya, jumlah perbelanjaan melebihi peruntukan bagi tempoh 2023 hingga 2025 itu mencecah RM2.1 bilion.
Lim berkata Ahmad Zahid perlu memberikan penjelasan penuh kepada rakyat berhubung perkara tersebut dan sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau sepatutnya menunjukkan contoh pengurusan kewangan yang berhemah.


Leave a Reply