Bangkok – Seorang bekas ketua sami berusia 66 tahun ditahan polis Thailand kerana disyaki menyeleweng dana sebuah kuil terkenal di Ayutthaya berjumlah kira-kira 100 juta baht (RM12.32 juta).

Suspek ditahan bersama seorang wanita yang dipercayai membantunya menguruskan wang berkenaan dalam serbuan di kediamannya di Wat Phutthaisawan, sebuah biara diraja purba di subdaerah Samphao Lom, daerah Muang, pada jam 6 pagi Khamis.

Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat (CIB), Polis Leftenan Jeneral Natthasak Chaowanasai berkata, siasatan bermula selepas pihaknya menerima laporan mengenai dakwaan penyalahgunaan dana kuil dan pemindahan wang kepada seorang rakan wanita untuk disembunyikan menggunakan nama orang lain.

Hasil siasatan sulit mendapati suspek didakwa mengeluarkan lebih 20 resit sumbangan atas nama kuil tanpa kebenaran sehingga menyebabkan kerugian kira-kira 100 juta baht dalam tempoh lebih dua tahun.

Polis turut menemui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan bekas ketua sami itu melakukan hubungan intim dengan wanita berkenaan di kediamannya.

Wanita terbabit dipercayai memainkan peranan dalam menguruskan wang yang diselewengkan, dengan puluhan juta baht dilaporkan mengalir melalui akaun bank miliknya setiap tahun.

Dia ditahan atas pertuduhan bersubahat dengan pegawai negeri dalam aktiviti haram. Di Thailand, sebahagian sami dikategorikan sebagai pegawai negeri kerana menerima elaun bulanan daripada kerajaan.

Suspek dilantik sebagai ketua sami Wat Phutthaisawan pada 2022 dan turut dikenali dalam perdagangan azimat, termasuk menghasilkan azimat Buddha popular seperti syiling “Nuea Duang”.

Selepas ditahan, suspek dibawa ke dewan perkahwinan kuil sebelum menjalani upacara pelucutan jawatan sami dan kembali menggunakan nama asalnya. Dia kemudian dibawa ke CIB untuk siasatan lanjut.

Polis turut mendakwa suspek menyalahgunakan hasil jualan azimat serta barangan keagamaan lain dengan memindahkan wang ke akaun peribadinya, selain mengeluarkan resit sumbangan atas nama kuil.

Dalam perkembangan sama, pemeriksaan di kediaman wanita terbabit di daerah Khlong Luang, Pathum Thani membawa kepada rampasan 35 azimat emas, jongkong emas dan barang kemas seberat 90 baht (1.36 kilogram) bernilai kira-kira 6.04 juta baht (RM742,000).

Polis turut merampas wang tunai 3.6 juta baht (RM443,000), tiga telefon bimbit, iPad, dokumen tanah dan bank, buku simpanan, dokumen pelaburan, polisi insurans serta dokumen berkaitan emas dan loteri.

Penyiasat percaya kes berkenaan mungkin turut melibatkan dua atau tiga individu lain, termasuk lebih daripada seorang wanita. Seorang pentadbir awam Wat Phutthaisawan, Chettha Ninsukhum, turut dibawa ke CIB untuk membantu siasatan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading