JAKARTA – Operasi risikan pihak berkuasa Indonesia di sebuah hotel di Pontianak membawa kepada penahanan 31 warga asing yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian, termasuk 30 rakyat Malaysia.
Kumpulan terbabit ditahan di Hotel Surya sekitar jam 11.15 pagi Selasa dalam operasi bersama Pejabat Imigresen Pontianak dan Polis Bandar Raya Pontianak.
Ketua Pejabat Imigresen Pontianak, Sam Fernando berkata, 30 rakyat Malaysia yang ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan lapan wanita, manakala seorang lagi suspek adalah lelaki warga Taiwan.
Katanya, kumpulan itu dipercayai menjalankan kegiatan yang menyasarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa.
“Sasaran kemungkinan besar warga Malaysia. Mereka didakwa cuba menipu warga Malaysia.
“Berdasarkan maklumat yang kami peroleh setakat ini, tiada warga Indonesia dalam kalangan sasaran,” katanya pada sidang media pada Khamis seperti dipetik daripada rakaman yang dimuat naik dalam talian.
Kesemua mereka kini ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen Pontianak untuk pemeriksaan lanjut, termasuk penelitian terhadap identiti, dokumen perjalanan dan status permit tinggal masing-masing.
Hasil pemeriksaan mendapati tiga rakyat Malaysia melakukan kesalahan tinggal lebih masa, selain terdapat dakwaan penyalahgunaan permit bagi menjalankan aktiviti yang tidak selari dengan tujuan permit berkenaan.
Sam berkata, kumpulan itu dipercayai menjadikan 14 bilik di tingkat tiga hotel berkenaan sebagai lokasi menjalankan operasi mereka.
Pihak imigresen turut mendapatkan keterangan daripada kakitangan hotel bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kesemua suspek tidak memasuki Indonesia pada masa yang sama kerana terdapat antara mereka yang tiba melalui Lapangan Terbang Pontianak, Jakarta dan laluan sempadan darat Entikong.
Tempoh mereka berada di negara itu juga berbeza, dengan sebahagian dilaporkan sudah berada di sana kira-kira dua bulan, manakala yang lain baru sekitar tiga minggu.
Beberapa barangan yang dipercayai berkaitan kegiatan berkenaan turut dirampas dalam operasi tersebut.
Sam berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan di Malaysia bagi meneruskan siasatan, termasuk mengenal pasti skala sebenar kegiatan dan jumlah kerugian yang terlibat.
“Buat masa ini, kami belum dapat memberikan butiran mengenai kerugian kerana siasatan dan proses soal siasat masih dijalankan,” katanya.


Leave a Reply