GEORGE TOWN – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), berkuat kuasa 14 September lalu.
Keputusan itu dibuat selepas ucapan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini yang menyentuh mengenai DAP mencetuskan perhatian.
Dalam surat peletakan jawatan, Mohd Zaidi mengakui kedudukannya sebagai Ahli Majlis memerlukan beliau lebih berhati-hati ketika menyampaikan pandangan berkaitan parti yang turut membentuk pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.
Beliau turut menyatakan rasa bertanggungjawab dan memohon maaf atas kenyataan yang disampaikan dalam kapasiti sebagai Ahli Majlis.
Bagaimanapun, Mohd Zaidi menjelaskan bahawa perbezaan prinsip dan ideologi antara UMNO dan DAP tidak semestinya menjadikan kedua-dua parti sentiasa bermusuhan.
Menurutnya, keputusan berundur daripada jawatan itu dibuat selepas mempertimbangkan perkara berkenaan dan bagi membolehkan beliau terus berpegang kepada prinsip serta pendirian politiknya.
Mohd Zaidi turut menegaskan bahawa peletakan jawatan tersebut dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.


Leave a Reply