KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci berhubung kerangka undang-undang, tatacara serta kriteria yang akan digunakan bagi pelaksanaan tahanan di rumah.

Gesaan itu dinyatakan dalam kenyataan media Bersatu mengenai pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ditandatangani Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pada 19 September 2026.

Menurut Bersatu, penjelasan berhubung perkara itu penting bagi memastikan pelaksanaan tahanan di rumah dapat difahami dengan jelas, termasuk persoalan sama ada kemudahan sama boleh dipertimbangkan kepada banduan lain yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Parti itu berkata, ketiadaan penjelasan terperinci boleh menimbulkan persepsi wujud perbezaan layanan berdasarkan kedudukan atau pengaruh seseorang.

Dalam kenyataan sama, Bersatu turut meminta supaya semua syarat yang dikenakan terhadap Najib, termasuk berkaitan pelaksanaan baki hukuman secara tahanan di rumah, dinyatakan secara terperinci dan diumumkan kepada rakyat.

Menurutnya, ketelusan berhubung syarat berkenaan penting bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara terus terpelihara.

Pada masa sama, Bersatu menegaskan pendiriannya dalam menentang kleptokrasi, amalan rasuah dan salah guna kuasa serta prinsip bahawa mereka yang disabitkan kesalahan perlu dihukum berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Bersatu bagaimanapun mengakui kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, termasuk kuasa memberi ampun, menunda atau meringankan hukuman.

Parti itu berkata, peruntukan berkenaan terpakai kepada semua banduan yang berhak memohon pengampunan melalui proses undang-undang.

Kenyataan tersebut dibuat sehari selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta. 

Bersatu turut menegaskan bahawa prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan keputusan tersebut.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading