KUALA LUMPUR – Penyanyi Britain, Ed Sheeran, akhirnya menyentuh isu Israel dan Palestin ketika membuat persembahan pertamanya selepas kontroversi membabitkan penyanyi rap Macklemore serta penarikan diri beberapa artis daripada jelajahnya.
Ketika berucap kepada penonton pada konsert di Philadelphia, Sheeran berkata beliau sebelum ini cuba mengelak daripada menjadi pengulas politik kerana mahu muzik dan persembahannya menjadi ruang yang menyatukan, bukannya memecahbelahkan.
Bagaimanapun, beliau berkata isu berkenaan kini dilihatnya sebagai persoalan kemanusiaan dan tidak lagi mahu menyembunyikan pendiriannya.
Sheeran mengutuk serangan di Israel dan insiden di Nova Music Festival pada 7 Oktober 2023, sambil menyifatkan keadaan di Gaza sebagai “catastrophic and unjustifiable” serta menyatakan kebimbangan terhadap kehilangan nyawa orang awam, termasuk kanak-kanak.
Beliau turut menyentuh mengenai keadaan di Tebing Barat yang disifatkannya sebagai ketidakadilan sistemik yang tidak boleh diketepikan.
Menurut Sheeran, beliau kini sedang berbincang dengan pelbagai pihak bagi mencari kaedah untuk menyumbang kepada usaha membantu mangsa konflik, selain mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari mengenai isu berkenaan.
Dalam pada itu, Sheeran menegaskan konsertnya kekal sebagai ruang yang terbuka kepada semua tanpa mengira perbezaan pandangan.
Beliau berkata penonton boleh mempunyai pendirian berbeza mengenai sesuatu isu, namun masih boleh bersama-sama menikmati muzik yang menurutnya membawa mesej mengenai kasih sayang, harapan dan perpaduan.
Kontroversi berkenaan tercetus selepas Macklemore membuat kenyataan menyokong Palestin ketika persembahan di New Jersey, sebelum dikeluarkan daripada baki jelajah Amerika Syarikat. Sheeran sebelum ini menegaskan keputusan itu dibuat oleh penganjur dan venue, bukan olehnya.
Susulan keputusan itu, beberapa artis sokongan termasuk Finneas, Lukas Graham, Aaron Rowe dan kumpulan Beoga menarik diri daripada jelajah berkenaan sebagai tanda solidariti terhadap Macklemore.


Leave a Reply