KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman menarik balik beberapa kenyataan yang pernah dikongsikannya mengenai pengalaman ketika berada di dalam penjara.

Menerusi kenyataan media yang dimuat naik di media sosial hari ini, Yasin berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia serta menilai semula keadaan yang dilaluinya ketika itu.

Menurutnya, perkongsian mengenai pengalamannya sebelum ini dibuat berdasarkan apa yang dialami dan difahaminya pada waktu berkenaan.

Yasin turut menjelaskan bahawa sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, beliau sedang melalui episod bipolar mania yang mungkin mempengaruhi cara beliau melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara di sekelilingnya.

“Selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia dan melihat kembali keadaan yang saya lalui ketika itu, saya dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, perkongsian tersebut dibuat tanpa niat untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia atau memperkecilkan tugas pegawai serta anggota yang berkhidmat di institusi berkenaan.

Yasin turut memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia, termasuk para pegawai dan anggotanya, atas kekeliruan yang timbul susulan kenyataan berkenaan.

Pada masa sama, beliau menyatakan penghargaan terhadap tugas dan khidmat warga Jabatan Penjara Malaysia dalam menjaga keselamatan, kebajikan serta proses pemulihan penghuni.

“Saya kesal sekiranya perkongsian tersebut telah menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Yasin berharap penjelasan berkenaan dapat membetulkan sebarang kekeliruan yang timbul dan membolehkan perkara itu diselesaikan dengan baik.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading