SHAH ALAM – Polis Selangor masih belum dapat mengenal pasti identiti seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia di ruang penyimpanan tayar sebuah pesawat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini tiada individu atau waris tampil membuat tuntutan terhadap mayat berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan awal juga tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa yang boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti identitinya.
Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang masih belum pulang atau dilaporkan hilang diminta tampil ke Ketua Polis Daerah KLIA atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Sekiranya ada ahli keluarga yang masih belum pulang atau hilang boleh berhubung dengan Ketua Polis Daerah KLIA atau balai polis berhampiran untuk kami lengkapkan siasatan. Identiti mayat itu juga masih belum dapat ditentukan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Dalam perkembangan sama, polis masih menyiasat bagaimana lelaki terbabit boleh berada di bahagian ruang tayar pesawat tersebut.
Shazeli berkata, pihaknya belum mahu membuat sebarang kesimpulan mengenai kejadian itu kerana siasatan masih berada di peringkat awal.
“Itu masih menjadi persoalan buat kami. Tetapi ia bukan kes pertama berlaku sedemikian rupa di mana individu dijumpai di tempat simpanan tayar. Saya tak nak beri kesimpulan kerana dibimbangi tersasar. Kita tunggu hasil siasatan daripada Ketua Polis Daerah KLIA,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat tersebut menyebabkan polis membuka kertas siasatan mengikut prosedur kematian mengejut (SDR) pada 27 Ogos lalu.
Siasatan kini diteruskan bagi merungkai identiti mangsa serta keadaan yang membawa kepada penemuan mayat berkenaan di ruang penyimpanan tayar pesawat.


Leave a Reply