ALOR SETAR – Sebanyak 28 pendatang tanpa izin pelbagai warganegara ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan di empat premis berasingan di sekitar Pokok Sena dan Jitra, semalam. 

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menjelaskan pemeriksaan di sebuah rumah kongsi di Jitra, sebuah premis tidak bernombor di Lebuhraya Bukit Kayu Hitam, sebuah premis di Jalan Wang Tepus, Jitra serta sebuah premis di Kampung Jabi, Pokok Sena telah dijalankan dalam operasi bermula 12 tengah malam itu.

“Sebanyak 63 pendatang tanpa izin telah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 28 orang telah ditahan. Mereka terdiri daripada 25 lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak yang kesemuanya berumur antara satu hingga 47 tahun. 

“Mereka yang ditahan merupakan 12 warga Myanmar, 12 warga Bangladesh dan empat warga Indonesia. Kesemua mereka telah dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” menurut Imigresen dalam kenyataan itu, hari ini. 

Imigresen Kedah memaklumkan antara kesalahan yang dikenal pasti melibatkan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama. 

“Satu Borang IMM.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang tempoh pemeriksaan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negeri bagi memastikan warga asing yang berada di Malaysia mematuhi undang-undang imigresen serta memiliki dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah,” katanya. 

Tambahnya, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji, melindungi atau membenarkan warga asing berada di premis mereka tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah.

— BERNAMA

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading