KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, guru terbabit akan dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebagai langkah awal Kementerian Pendidikan (KPM).

Memetik laporan Berita Harian, penempatan sementara itu katanya bertujuan memastikan guru berkenaan tidak mempunyai sebarang urusan atau interaksi dengan murid yang terbabit dalam tempoh siasatan.

“Kalau ada dakwaan berkaitan gangguan seksual dengan anak murid, memang guru itu kita akan siasat dan untuk tindakan awal, kita akan asingkan dengan murid.

“Maknanya guru itu tidak akan ditugaskan di sekolah lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sekiranya kes turut dilaporkan kepada polis, siasatan dan tindakan seterusnya akan tertakluk kepada proses undang-undang jenayah.

Mohd Azam menjelaskan, guru yang kesnya telah sampai ke peringkat sebutan di mahkamah boleh dikenakan tindakan tahan kerja, dengan hanya menerima separuh daripada gaji sepanjang tempoh berkenaan.

“Kalau ada sehingga ke sebutan kes, kita akan tahan kerja. Maknanya tahan kerja ini, guru berkenaan hanya akan menerima separuh daripada gajinya,” katanya.

Katanya, sekiranya mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman dan guru berkenaan didapati bersalah, tindakan selanjutnya akan mengikut keputusan mahkamah, selain tindakan tatatertib oleh KPM.

“Tindakan tatatertib akan diambil sama ada buang atau sebagainya.

“Ini adalah prosedur biasa yang kita akan ambil bila ada kes seumpama ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dakwaan seorang guru wanita mempunyai hubungan terlarang dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun selepas perkara itu diketahui keluarga remaja terbabit dan pihak sekolah.

Hubungan tersebut didakwa bermula sejak tahun lalu, termasuk pertemuan di sebuah hotel di Seri Kembangan dan kediaman guru berkenaan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading