JAKARTA – Indonesia akan menubuhkan Agensi Pengurusan Tanah Gambut dan Bakau Nasional (BPGMN) bagi memperkukuh usaha mencegah kebakaran hutan dan tanah yang berulang, khususnya di kawasan tanah gambut.

Dalam kenyataan, Biro Akhbar, Media dan Informasi (BPMI) Sekretariat Presiden memaklumkan Presiden Prabowo Subianto membuat keputusan itu selepas bertemu ahli akademik dan pakar di Istana Merdeka pada Khamis bagi membincangkan pengurusan tanah gambut serta risiko kebakaran hutan dan tanah.

“Kita bersetuju bahawa agensi ini diperlukan dan mesti diwujudkan, iaitu Agensi Pengurusan Tanah Gambut dan Bakau Nasional… Ia tidak akan diletakkan di bawah mana-mana kementerian, sebaliknya secara langsung di bawah Presiden,” kata Prabowo menurut kenyataan itu.

Prabowo turut mengarahkan Angkatan Tentera Nasional Indonesia mengerahkan 1,000 anggota ke daerah-daerah bagi mendidik masyarakat setempat mengenai pencegahan kebakaran, dengan anggota Polis Nasional berkemungkinan turut menyertai usaha itu.

Mengenai penguatkuasaan, beliau turut menegaskan kerajaan akan terus menyiasat syarikat yang disyaki sengaja mencetuskan kebakaran, manakala peraturan akan dikaji semula bagi memperkukuh usaha pencegahan.

Di peringkat syarikat, beliau berkata peraturan sedia ada mewajibkan syarikat menyediakan kemudahan pencegahan kebakaran termasuk menara pemantau, takungan air dan pasukan pemadam kebakaran yang terdiri daripada pekerja mereka sendiri.

“Ada syarikat yang mematuhi peraturan dan ada yang tidak. Kita mesti memastikan perkara ini dipatuhi,” katanya menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Brian Yuliarto berkata Indonesia mempunyai lebih 33 juta hektar tanah gambut, menjadikan pengurusan secara terselaras penting bagi mengoptimumkan penggunaannya dan memperkukuh pencegahan kebakaran.

— BERNAMA

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading