RAUB – Dua lelaki warga Myanmar ditahan selepas dipercayai menyerang seorang anggota polis yang menegur mereka kerana memainkan muzik dengan kuat di tepi jalan di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi tadi.
Kedua-dua suspek berusia 26 dan 30 tahun serta bekerja di sebuah ladang. Mereka dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.45 pagi.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, anggota polis berpangkat koperal itu pergi ke lokasi selepas menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung bunyi muzik yang mengganggu.
Menurutnya, teguran anggota berkenaan menyebabkan kedua-dua suspek berang sebelum berlaku serangan terhadapnya.
“Akibat kejadian, anggota berkenaan mengalami bengkak pada kepala selain kecederaan di beberapa bahagian badan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Raub,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian, polis menahan kedua-dua lelaki terbabit dan membuka siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.


Leave a Reply