KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa individu dipercayai aktivis yang menendang makanan dan barangan jualan seorang peniaga warga asing mengundang rasa kesal penyanyi dan pelakon, Azza Elite.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Azza atau Noor Azzarima Zawari, 49, berkata tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan, lebih-lebih lagi apabila peniaga berkenaan dikatakan tidak melawan dan telah bersedia mengemas sendiri barang jualannya.

Beliau berkata, sebarang kesalahan yang dilakukan seseorang tidak seharusnya menjadi alasan untuk bertindak secara kasar sehingga melibatkan makanan dan sumber pendapatan individu terbabit.

“Jangan tendang makanan, berdosa besar,” katanya.

Menurut Azza, sebagai seseorang yang turut menjalankan perniagaan, dia memahami bahawa makanan yang dijual merupakan hasil usaha mencari rezeki. Justeru, tindakan memperlakukan makanan dengan cara sedemikian membuatkannya berasa sedih.

Katanya, teguran dan tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dilakukan dengan cara lebih berhemah tanpa mengenepikan nilai kemanusiaan dan adab.

Azza turut mempersoalkan keperluan menggunakan tindakan kasar terhadap peniaga berkenaan sekiranya dia sudah mengakui kesalahan serta menunjukkan kesediaan untuk mengemas jualannya sendiri.

Isu itu mendapat perhatian selepas sebuah video sekitar 30 saat tersebar di media sosial, memaparkan beberapa individu dipercayai aktivis pencegah warga asing menyerbu sebuah gerai menjual daun sirih yang dikendalikan lelaki warga asing.

Dalam rakaman tersebut, makanan dan barangan jualan peniaga berkenaan dilihat ditendang oleh individu terbabit.

Perbuatan itu kemudiannya mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet, dengan sebahagian mereka menyifatkan tindakan merosakkan atau menendang barangan jualan sebagai keterlaluan.

Ada juga yang berpendapat sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan peniaga atau warga asing sepatutnya ditangani pihak berkuasa melalui saluran perundangan yang sewajarnya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading