KUALA LUMPUR – RM28.12 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf PPR Batu Muda secara berperingkat, termasuk pembaikan kemudahan utama demi memastikan keselesaan dan keselamatan lebih 10,000 penduduk di kawasan perumahan berkenaan.
PPR Batu Muda yang dibangunkan pada 2007 merangkumi tujuh blok dengan keseluruhan 2,132 unit kediaman. Kompleks tersebut kini dihuni kira-kira 10,534 penduduk dan memerlukan penyelenggaraan berkala berikutan faktor usia serta penggunaan kemudahan yang tinggi.
Antara projek yang telah diselesaikan ialah penggantian 21 unit lif dengan kos RM11.69 juta. Kerja berkenaan siap pada Oktober 2025 dan kini masih berada dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP).
Selain lif, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut melaksanakan kerja menaik taraf turapan jalan bernilai RM1.46 juta serta membaik pulih taman permainan kanak-kanak dengan peruntukan RM278,000.
Bagi fasa seterusnya, kerja penggantian sub-main cable, iaitu kabel yang menghubungkan meter ke papan agihan unit, diperuntukkan RM5.6 juta dan dijadualkan bermula Oktober 2026. Sementara itu, kerja mengecat keseluruhan bangunan dirancang pada 2027 dengan anggaran kos RM9.1 juta.
PPR Batu Muda hari ini turut menjadi antara lokasi Program Pembersihan Mega Seluruh Negara dan Karnival Keselamatan Kebakaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 bersempena Hari Cuci Malaysia.
Program tersebut bukan sahaja melibatkan aktiviti gotong-royong bersama penduduk, malah turut menyediakan pameran berkaitan alam sekitar, pemeriksaan kesihatan, aktiviti kitar semula serta program kesedaran keselamatan kebakaran.
Usaha memperbaiki dan menyelenggara kemudahan PPR akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan kawasan perumahan awam kekal terurus, selamat dan selesa untuk didiami warga kota.


Leave a Reply