KUALA LUMPUR – Seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan kini dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Kementerian Pendidikan (KPM) bersama pihak sekolah memberi kerjasama penuh bagi memastikan kes berkenaan disiasat secara menyeluruh dan telus.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta memaklumkan sudah bertemu ahli keluarga mangsa di hospital bagi menyampaikan rasa simpati atas kehilangan tersebut.
Menurut Fadhlina, beliau turut hadir ke sekolah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan daripada warga sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PDRM berkaitan kejadian serta tindakan yang telah diambil.
Dalam pada itu, KPM akan meneliti aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah, termasuk menjalankan audit bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan.
Sebelum ini, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN). Polis turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Fadhlina menegaskan tiada pihak akan dilindungi sekiranya siasatan mendapati wujud salah laku atau pelanggaran undang-undang, dengan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.


Leave a Reply