KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini memulakan proses penghantaran pulang kira-kira 1,500 warga Myanmar yang berada di pusat tahanan, dalam fasa pertama program repatriasi secara sukarela.

Kumpulan berkenaan merupakan sebahagian daripada kira-kira 5,000 warga Myanmar yang dilaporkan bersetuju untuk kembali ke negara asal mereka.

Menurut laporan AFP, puluhan bas yang membawa warga Myanmar terbabit tiba dengan kawalan polis di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, berhampiran Pangkalan Tentera Laut Lumut, Perak.

Mereka dijangka menjalani proses dokumentasi terlebih dahulu sebelum dibawa ke pangkalan tentera laut berdekatan untuk menaiki kapal menuju ke Myanmar.

Bagaimanapun, jumlah etnik Rohingya yang termasuk dalam kumpulan penghantaran pulang itu masih belum diketahui kerana pihak berkuasa Malaysia tidak mendedahkan pecahan berkenaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menganggarkan etnik Rohingya membentuk kira-kira dua pertiga daripada sekitar 190,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar yang berada di Malaysia.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 warganya menerusi program penghantaran pulang tersebut.

Bagaimanapun, usaha itu mendapat perhatian kumpulan hak asasi manusia yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan golongan yang dihantar pulang.

Awal bulan ini, kerajaan Myanmar memberi jaminan bahawa rakyatnya yang berada di luar negara akan dibawa pulang dalam keadaan “selamat dan bermaruah”, susulan kritikan daripada PBB serta kumpulan hak asasi manusia.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata beliau bercadang menjemput pemimpin junta Myanmar yang kini memegang jawatan presiden, Min Aung Hlaing, untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia bagi membantu mempercepatkan proses penghantaran pulang berkenaan.

Malaysia merupakan antara negara di Asia Tenggara yang menempatkan jumlah pelarian yang besar. Bagaimanapun, negara ini bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mengiktiraf status pelarian secara rasmi.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading