KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bersama rakan usaha samanya telah berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi Fasa 2 projek gas asli cecair (LNG) Canada di Kitimat, British Columbia.
Beliau berkata keputusan itu membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.
“Pembesaran ini bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.
“Tahniah kepada seluruh warga Petronas atas kejayaan ini. Keupayaan syarikat negara menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa turut mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia,” katanya dalam hantaran di media sosial X hari ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada Petronas.
“Saya mengalu-alukan pertemuan bersama Perdana Menteri, Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” katanya.
— BERNAMA


Leave a Reply