RABAT/ISTANBUL – Raja Maghribi Mohammed VI pada Selasa melantik Fatima Ezzahra El Mansouri sebagai Perdana Menteri, sekali gus menjadikannya wanita pertama memegang jawatan itu di negara berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

Parti Authenticity and Modernity (PAM) pimpinan Mansouri memenangi pilihan raya Parlimen pada 23 Sept dengan memperoleh 97 kerusi.

Pelantikan itu diumumkan menerusi kenyataan Kementerian Hal Ehwal Istana Diraja, Protokol dan Canselori.

Raja melantik Perdana Menteri daripada parti yang memperoleh kerusi terbanyak dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 395 kerusi, manakala anggota Kabinet dilantik atas cadangan Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, Mohammed VI menerima menghadap Mansouri, yang merupakan penyelaras kepimpinan kolektif PAM, di Istana Diraja di Rabat sebelum melantiknya sebagai Perdana Menteri dan memberi mandat kepadanya untuk membentuk kerajaan baharu.

Selepas pertemuan itu, Mansouri menyifatkan pelantikannya sebagai “detik bersejarah” bagi negara berkenaan.

“Ini kali pertama seorang wanita dilantik untuk mengetuai kerajaan, dan ia menjadi kebanggaan bagi saya serta semua wanita di negara ini,” katanya.

Mansouri berkata beliau akan segera memulakan rundingan dalam parti serta dengan parti politik lain bagi membentuk kerajaan.

“Kami sedar sepenuhnya mengenai pentingnya fasa ini dan harapan tinggi rakyat, khususnya golongan muda,” kata beliau sambil menegaskan bahawa kerajaan akan merangka program yang menawarkan penyelesaian realistik dan konkrit.

National Rally of Independents (RNI) berada di tempat kedua dengan 66 kerusi, diikuti Parti Istiqlal dengan 65 kerusi dan Parti Justice and Development (PJD) dengan 54 kerusi.

Sekurang-kurangnya 198 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti dalam Dewan Perwakilan, sekali gus membuka ruang kepada rundingan bagi membentuk kerajaan gabungan.

Mansouri mengetuai kepimpinan kolektif PAM bersama dua lagi pemimpin kanan parti itu, iaitu Menteri Belia dan Kebudayaan Mehdi Bensaid serta Fatima Saadi.

Beliau mula menyerlah dalam politik selepas penubuhan PAM pada 2008 dan mencipta sejarah apabila menjadi datuk bandar wanita pertama Marrakech pada 2009.

— BERNAMA-ANADOLU

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading