SUBANG – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyantuni dan meraikan 149 anak yatim menerusi program Joyride Flight Kembara Semenanjung bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor.

Keberangkatan tiba baginda di Subang SkyPark, di sini yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, disambut oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. 

Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan program itu yang melibatkan penyertaan anak-anak yatim daripada 29 rumah anak yatim menandakan bermulanya secara rasmi Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor sepanjang Oktober ini.

Anak-anak yatim berkenaan menaiki pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Batik Air bagi penerbangan selama satu jam berlepas di sini melalui ruang udara Pulau Pinang menuju ke Langkawi, sebelum berpatah balik ke Subang SkyPark.

“Menerusi program di bawah kendalian Tourism Malaysia dan diselaraskan oleh Selangor Youth (SAY) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), baginda mahu memberikan pengalaman kembara dan penerbangan yang mungkin jarang dinikmati oleh anak-anak yatim, sekali gus mencipta kenangan bermakna buat mereka.

“Pendedahan kepada pengalaman baharu, interaksi sosial dan aktiviti luar juga diharapkan dapat meningkatkan keyakinan diri serta menyuntik motivasi untuk mereka terus melangkah maju,” menurut kenyataan itu. 

Program berkenaan bertujuan memupuk semangat kasih sayang, kebersamaan dan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan serta kesejahteraan anak-anak yatim.

Selain itu, pelaksanaannya turut mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta, pihak penganjur, sukarelawan, agensi berkaitan dan masyarakat setempat.

“Penganjuran program bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor ini turut membuka ruang kepada anak-anak yatim untuk menghayati nilai patriotisme dan menyemai kecintaan terhadap institusi Kesultanan Selangor.

“Keberangkatan baginda bersama-sama Tengku Permaisuri Selangor dan Raja Muda Selangor mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja terhadap kesejahteraan anak-anak yatim, agar mereka turut disantuni dan diraikan dalam sambutan bersejarah ini,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta Amirul Mukminin Tahir, 13, berkongsi rasa gembira kerana kali pertama merasai pengalaman menaiki kapal terbang dan bertemu dengan kawan baharu. 

“Kali pertama saya dapat rasa pengalaman naik kapal terbang, ada rasa pening sedikit, tetapi seronok dan dapat juga jumpa kawan-kawan baharu,” katanya yang merupakan anak yatim di bawah jagaan Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah. 

Seorang lagi peserta, Adam Adliemie Haziq Abdullah, 14, pula meluahkan rasa teruja kerana dapat bertemu dengan Sultan Sharafuddin dan turut menghargai aktiviti yang telah disusun untuk menyantuninya dan rakan-rakan. 

“Sebelum ini, kita cuma tengok Tuanku dalam buku atau gambar, tak sangka kali ini dapat jumpa sendiri di depan mata, gementar juga rasanya,” katanya. 

— BERNAMA

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading