BACHOK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terpaksa menjalani pembedahan selama lima jam selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, di sini, Khamis lalu.
Azuar Firdaus Zuraiman menjalani prosedur mencuci luka serta menampal bahagian yang mengalami kesan gigitan pada kepala dan leher.
Bapanya, Zuraiman Mahmod, 47, berkata anak kelapan daripada sembilan beradik itu sedang bermain di kawasan pantai bersama beberapa saudara kira-kira jam 9 pagi sebelum kejadian berlaku.
Menurutnya, keadaan bertukar cemas apabila sekumpulan lima ekor anjing tiba-tiba mengejar mereka sehingga menyebabkan Azuar Firdaus terjatuh sebelum diserang.
“Anak sempat bangun dan cuba melawan dengan menendang anjing berkenaan sebelum melarikan diri ke arah air. Serangan hanya berhenti apabila dia masuk ke kawasan air.
“Kejadian itu disedari seorang buruh yang berada berhampiran. Dia kemudian membantu membawa anak saya ke kedai makan kami yang terletak tidak jauh dari pantai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zuraiman berkata, keluarganya sudah lama menjalankan perniagaan makanan di kawasan berkenaan dan serangan anjing liar bukan perkara baharu di situ.
Katanya, seorang nelayan sebelum ini turut pernah mengalami kecederaan pada tangan selepas diserang anjing liar kira-kira dua tahun lalu.
“Saya tidak pernah menyangka anak sendiri akan menjadi mangsa kejadian seperti ini,” katanya.
Beliau berkata, keadaan Azuar Firdaus kini stabil selepas menjalani pembedahan kira-kira jam 1 tengah hari semalam dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai.


Leave a Reply