Dhaka – Tentera Laut Bangladesh menyelamatkan 76 individu termasuk 65 migran yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dalam satu operasi di perairan berhampiran Saint Martin, malam Rabu.

Operasi itu turut membawa kepada penahanan 11 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan pemerdagangan manusia dan cubaan membawa migran ke Malaysia secara haram.

Menurut kenyataan Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), kapal BNS Khalid Bin Walid mengesan sebuah bot kayu yang hanyut kira-kira 81 batu nautika dari Rumah Api Saint Martin ketika menjalankan rondaan rutin.

Pemeriksaan mendapati bot terbabit mengalami kerosakan enjin, sebelum anggota tentera laut bertindak menghampiri dan membantu menyelamatkan kesemua penumpang.

Selain mengeluarkan air yang memasuki bot bagi mengelakkannya karam, anggota penyelamat turut memberikan rawatan awal, makanan dan bantuan kemanusiaan kepada mereka.

Siasatan awal mendapati 65 individu berkenaan dipercayai mangsa yang dijanjikan perjalanan ke Malaysia, manakala 11 lagi disyaki terlibat sebagai anggota sindiket.

Kebanyakan mangsa dilaporkan diculik dan ditahan di lokasi terpencil di Teknaf, Cox’s Bazar sebelum dibawa menaiki bot melalui laluan laut.

Kesemua suspek bersama bot yang dirampas kemudian diserahkan kepada Balai Polis Teknaf untuk tindakan lanjut.

Tentera Laut Bangladesh menegaskan operasi pemantauan di perairan negara itu akan dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan pemerdagangan manusia, penyeludupan migran dan aktiviti haram lain. – Agensi

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading