SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Bahrain atas kepercayaan diberikan kepada Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.
Beliau berkata penganjuran perlumbaan berkenaan bukan sahaja berjaya dilaksanakan dengan lancar, malah turut mengeratkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Bahrain.
Anwar turut menghargai kerjasama antara Sepang International Circuit (SIC) dan Bahrain International Circuit (BIC), selain komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan perlumbaan berprestij itu berlangsung dengan jayanya.
Menurut beliau, kejayaan acara berkenaan turut didorong oleh sumbangan pelbagai pihak termasuk pemandu bas, anggota keselamatan, sukarelawan, peniaga dan petugas kebersihan.
Beliau berkata usaha serta pengorbanan golongan berkenaan wajar dihargai kerana mereka menjadi antara tonggak penting di sebalik kemeriahan penganjuran F1 di Sepang.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada peminat Formula 1 dari seluruh dunia yang hadir menyaksikan perlumbaan, khususnya rakyat Malaysia yang memberikan sambutan hangat kepada para tetamu.
Katanya, kemesraan dan layanan rakyat Malaysia sepanjang acara itu mencerminkan imej negara sebagai sebuah negara yang terbuka, mesra dan mengutamakan semangat muhibah.
Beliau berharap hubungan serta kerjasama yang terjalin menerusi penganjuran perlumbaan itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Semoga kita ketemu lagi di Sepang. Insya-Allah,” katanya.


Leave a Reply