KUALA LUMPUR – Isu pelarian Rohingya di Malaysia tidak lagi boleh dilihat sebagai perkara sementara, sebaliknya semakin menjadi cabaran serius yang memerlukan penyelesaian tegas, adil dan menyeluruh.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kegagalan menangani isu itu dengan berkesan berisiko memberi kesan lebih besar bukan sahaja terhadap landskap politik, malah nilai kemanusiaan dan moral negara.
Menurutnya, Malaysia juga tidak wajar terus menggalas tanggungjawab pengurusan pelarian secara bersendirian tanpa perkongsian tanggungjawab daripada negara jiran dan negara maju.
Beliau berkata, jumlah pelarian Rohingya di Malaysia kini jauh lebih tinggi berbanding beberapa negara lain, dengan anggaran rasmi sekitar 130,000 orang manakala jumlah tidak rasmi melebihi 200,000.
“Malaysia mempunyai saiz dan jumlah penduduk yang lebih kecil berbanding beberapa negara jiran, namun jumlah Rohingya yang berada di negara ini jauh lebih tinggi.
“Sebagai perbandingan, Indonesia mempunyai kurang 2,600 orang manakala India yang jauh lebih besar pula kurang 20,000,” katanya ketika membahaskan sesi penerangan mengenai Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.
Syed Saddiq berkata, keadaan itu menunjukkan tanggungjawab terhadap pelarian masih belum dikongsi secara seimbang oleh negara-negara berkaitan.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan peranan UNHCR serta negara maju yang sebelum ini diharapkan dapat membantu menempatkan semula pelarian dari Malaysia ke negara ketiga.
Katanya, Malaysia sepatutnya berperanan sebagai lokasi sementara bagi proses dokumentasi sebelum pelarian dipindahkan ke negara lain, sebagaimana pernah dilaksanakan dalam pengurusan pelarian Vietnam.
Namun, beliau berkata, jumlah pelarian yang terus meningkat menyebabkan Malaysia kini berada pada tahap kritikal.
“Jumlahnya sudah melebihi 200,000, tetapi kurang daripada 1,000 yang diterima oleh negara-negara maju.
“Ini menunjukkan Malaysia tidak seharusnya dibiarkan menangani isu ini seorang diri,” katanya.


Leave a Reply