KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM2.24 juta bagi kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, yang dihuni kira-kira 1,061 penduduk.
Peruntukan itu melibatkan beberapa kerja utama termasuk mengecat semula bangunan dengan kos RM1.1 juta, penggantian kabel sub-utama dan papan suis utama elektrik berjumlah RM904,000, turapan jalan sebanyak RM136,000 serta peningkatan sistem keselamatan kebakaran bernilai RM101,000.
Selain kerja naik taraf berkenaan, DBKL turut membina sebuah jambatan baharu merentasi rizab Sungai Bonus dengan kos kira-kira RM200,000.
Jambatan sepanjang 18 meter dan selebar dua meter itu akan menghubungkan PPR Wangsa Sari dengan Padang Wangsa Sari, sekali gus menyediakan laluan lebih selamat dan mudah untuk penduduk setempat.
Projek berkenaan turut dijangka mengurangkan risiko keselamatan kepada penduduk yang menggunakan laluan di sekitar Jalan 2/27A, selain memudahkan akses ke kawasan rekreasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir. Ts. Zahir Hassan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud sebelum ini mengadakan lawatan turun padang bagi meninjau pelaksanaan kerja penyelenggaraan serta cadangan penambahbaikan kemudahan di kawasan tersebut.
PPR Wangsa Sari yang dibina pada 2008 mempunyai sebuah blok setinggi 21 tingkat dengan 272 unit kediaman, terdiri daripada 173 unit jualan dan 99 unit sewaan.
Usaha tersebut mencerminkan langkah DBKL mempertingkat kemudahan perumahan awam dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan, keselesaan dan akses komuniti.


Leave a Reply