KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, membuat rayuan terakhir kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya Belanjawan 2027 memberi pelepasan cukai lebih besar kepada rakyat.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 mungkin menjadi peluang terakhir kerajaan untuk melaksanakan langkah yang membolehkan rakyat menikmati manfaatnya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Secara jujurnya, ini belanjawan terakhir yang kita ada untuk membolehkan rakyat merasai manfaat belanjawan,” katanya kepada Malaysiakini di Parlimen, hari ini.
Rayuan itu dibuat sehari sebelum Anwar dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Anwar berkata pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak mencukupi ketika rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup.
Perdana Menteri turut memberi jaminan Belanjawan 2027 akan membantu mengurangkan beban rakyat serta memastikan manfaat pembangunan diagihkan dengan lebih adil.
Bagaimanapun, Lim berkata Belanjawan 2028 mungkin tidak lagi memberi ruang mencukupi untuk rakyat menikmati kesan langkah yang diumumkan kerana PRU dijangka berlangsung dalam tempoh berkenaan.
“Anwar akan membentangkan Belanjawan 2028, tetapi dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk rakyat merasai manfaatnya kerana pilihan raya akan berlangsung ketika itu.
“Jadi ini belanjawan terakhir. Sama ada anda lakukannya, atau tidak,” katanya.
Parlimen penggal semasa mula bersidang pada 19 Disember 2022 dan mempunyai tempoh maksimum lima tahun sehingga Disember 2027.
Pilihan raya umum pula perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen, bermakna PRU perlu berlangsung selewat-lewatnya Februari 2028 sekiranya penggal penuh digunakan.
Dalam rayuannya, Lim mencadangkan pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Beliau turut mencadangkan pelepasan cukai berkaitan pendidikan dan kesihatan masing-masing ditambah RM1,000 serta cukai perkhidmatan lapan peratus terhadap rumah jagaan warga emas swasta dimansuhkan.
Menurut Lim, pelepasan cukai individu itu tidak pernah dinaikkan sejak 2010 dan sudah tiba masanya ia disemak berdasarkan peningkatan kos sara hidup serta kadar inflasi.
“Apa yang boleh kita lakukan untuk membolehkan rakyat merasai manfaat belanjawan adalah dengan meningkatkan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 sekarang kepada RM12,000.
“Ia tidak pernah dinaikkan sejak 2010, sudah 17 tahun. Tiba masanya ia dinaikkan sebanyak RM3,000 berdasarkan kadar inflasi sepanjang tempoh itu,” katanya.
Lim turut menggesa kerajaan mempertimbangkan pelepasan bagi individu yang menanggung kos penjagaan ibu bapa warga emas.
Beliau mencadangkan cukai perkhidmatan terhadap rumah jagaan warga emas swasta dimansuhkan, yang didakwanya dikenakan sejak September lalu.
Katanya, cadangan berkenaan sudah dikemukakan kepada Anwar dan rayuan terbaharu itu dibuat bagi mendapatkan pertimbangan kerajaan terhadap pembayar cukai individu.


Leave a Reply