KUALA SELANGOR – Seorang wanita bersama dua anaknya maut selepas kereta Proton Exora yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori 20 tan di Jalan Raja Muda Musa, di sini pada Khamis.
Seorang lagi anak wanita berkenaan berusia 10 tahun mengalami kecederaan parah dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.37 tengah hari itu.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Norawalysa Mat Talpi, 44, serta anak perempuannya, Auni Syazana Suhaimi, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz Suhaimi, lapan tahun.
Anak lelakinya, Ahmad Syah Fitri, 10, pula cedera di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di hospital.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.37 tengah hari.
Menurutnya, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Beliau berkata, keempat-empat mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum orang awam berjaya mengeluarkan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu.
“Pasukan ambulans mengesahkan tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Norawalysa difahamkan bertugas sebagai guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bestari Jaya.
Ketika kejadian, mereka sekeluarga dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah menuju ke kediaman mereka di Kampung Parit Serong.


Leave a Reply