KUALA LUMPUR – “Isu pelaburan RM10 juta membabitkan Yayasan Bank Rakyat (YBR) bukan perkara baharu kerana siasatan mengenainya dikatakan telah dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak sekitar empat tahun lalu,” dakwa bekas Pengerusi Yayasan itu, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Memetik laporan Kosmo!, berdasarkan maklumat yang diterimanya, siasatan ketika itu tidak menemukan sebarang unsur penyelewengan atau salah laku.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun kembali menjadi perhatian selepas pasukan SPRM melakukan serbuan di kediamannya pada 30 September lalu dan menyita beberapa kenderaan miliknya.

Menurut Nazir, pegawai SPRM tiba di rumahnya sekitar 6.30 pagi dan operasi berkenaan hanya selesai kira-kira 12 jam kemudian.

Katanya, antara aset yang diambil ialah beberapa kereta dan motosikal, dengan tindakan itu dikaitkan dengan dakwaan berhubung penyelewengan dana YBR berjumlah RM10 juta.

“Untuk rekod, kertas siasatan berkaitan isu ini pernah dibuka kira-kira empat tahun lalu.

“Pihak SPRM telah menjalankan siasatan dan pada ketika itu, saya difahamkan tiada salah laku atau penyelewengan berkaitan perkara tersebut dikenal pasti pada tahun 2022,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Nazir turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara penyitaan dilakukan dan mendakwa tindakan berkenaan mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.

Perhatian beliau turut tertumpu kepada kandungan yang didakwa dimuat naik di akaun TikTok rasmi SPRM Malaysia ketika siasatan terhadap perkara itu masih berlangsung.

Beliau mendakwa kandungan tersebut menggunakan lagu bertemakan ‘penyamun’ selain memaparkan kapsyen yang menyatakan ‘siasatan awal mendapati kedua-dua adik-beradik bersubahat’.

Nazir berpandangan penggunaan kandungan sedemikian boleh memberikan gambaran negatif terhadap dirinya, terutama apabila tiada pertuduhan dibuat terhadapnya pada ketika itu.

Beliau berkata, tindakan tersebut juga boleh menyebabkan orang ramai menganggap dirinya sudah diputuskan bersalah sedangkan proses siasatan masih berjalan.

“Perkara ini sekiranya dibaca, sekali gus boleh menimbulkan suatu persepsi bahawa saya telah pun disabit bersalah.

“Pada pandangan saya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan tidak profesional, khususnya apabila ia melibatkan sebuah badan penguat kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Nazir meminta Peguam Negara meneliti keseluruhan isu berkenaan secara adil tanpa dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak.

Beliau turut menegaskan bahawa dirinya tidak mengelak daripada proses undang-undang dan bersedia memberikan kerjasama sekiranya diperlukan.

“Saya juga dengan rendah diri merayu kepada Yang Arif Tan Sri Peguam Negara agar melihat perkara ini secara adil dan menyeluruh supaya saya tidak dijadikan kambing hitam atau alat untuk memenuhi kepentingan mana-mana pihak tertentu,” katanya.

Nazir berkata, apa yang dituntutnya adalah supaya perkara itu dikendalikan secara telus serta memberikan ruang kepada semua pihak untuk melalui proses yang adil.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading