KUALA LUMPUR – Pelawak Jep Sepahtu tampil menjelaskan pendiriannya berhubung kemelut lama membabitkan dirinya dengan Shuib, termasuk dakwaan berkaitan persahabatan dan soal pembayaran.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Jep mendakwa dia sudah beberapa kali memohon maaf dan cuba menghubungi Shuib secara peribadi, namun mesej yang dihantar tidak mendapat balasan.
Jep turut mempersoalkan tindakan membangkitkan semula perkara berkenaan secara terbuka sehingga menurutnya menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.
Dalam luahan sama, Jep menafikan mengambil hak orang lain dan mencabar mana-mana pihak yang mempunyai dakwaan berkaitan pembayaran supaya menyatakan perkara itu secara jelas.
“Kalau betul memang ada cerita pasal payment itu, sebutlah nama,” katanya.
Jep turut mendakwa terdapat isu berkaitan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menurutnya masih belum diselesaikan dan meminta perkara berkenaan diberi perhatian berbanding terus melontarkan tuduhan.
Pada masa sama, Jep berkata dia sudah letih dengan kemelut tersebut dan berharap kehidupannya tidak lagi diganggu.
Jep turut memuat naik resit pembayaran zakat sebagai sebahagian daripada penjelasannya, selain menyatakan bahawa dia sentiasa menjaga sumber pendapatan yang diperolehnya.
“Resit ini untuk dibuktikan bukan dibanggakan,” tulisnya dalam hantaran berasingan.


Jep berkata rezeki yang diperoleh dikongsi dengan membayar zakat dan menegaskan dia tidak mahu mengambil hak orang lain.


Leave a Reply