JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan anjing liar ketika bermain di taman permainan berhampiran flat kos rendah di Lima Kedai, Johor, pada Isnin.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 petang hingga 4 petang ketika mangsa berada di kawasan permainan sebelum diserang antara enam hingga lapan ekor anjing.
Seorang lelaki yang menyaksikan kejadian itu bertindak membaling batu ke arah haiwan berkenaan bagi menghalang serangan berterusan dan membantu menyelamatkan mangsa.
Kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada bahagian mata, leher, kepala serta badan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.
Dalam kejadian berasingan pada hari sama, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun turut berdepan serangan anjing liar sekitar jam 6 pagi.
Remaja berkenaan berjaya menghalau haiwan tersebut sebelum melarikan diri ke tangga bangunan, namun mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dilaporkan akan melaksanakan operasi bagi menangani masalah anjing liar di kawasan terbabit.
Kejadian berulang itu menimbulkan kebimbangan penduduk setempat, terutama ibu bapa yang risau akan keselamatan anak-anak ketika menggunakan kemudahan awam di kawasan perumahan.
Tindakan pihak berkuasa bagi menangani masalah berkenaan kini menjadi perhatian penduduk bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.


Leave a Reply