KUALA LUMPUR – Perjalanan sebuah keluarga bertukar tragedi apabila anak perempuan mereka berusia lima tahun meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan berantai di Jalan Kuching, menghala ke Segambut, kelmarin.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala ketika berada di tempat duduk belakang Perodua Bezza yang dipandu bapanya, sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian pada jam 3.44 petang itu berlaku ketika trafik bergerak perlahan dan melibatkan enam kenderaan, termasuk sebuah motosikal.

Menurutnya, kemalangan dipercayai bermula apabila sebuah BYD Seal merempuh bahagian belakang Bezza berkenaan. Hentaman itu menyebabkan kereta mangsa berpusing ke lorong kanan dan berlanggar dengan beberapa kenderaan lain.

Antara kenderaan yang turut terlibat ialah motosikal Yamaha 135LC, Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Bapa mangsa, 30, mengalami kecederaan pada tangan kanan, manakala penunggang motosikal berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-duanya dibawa ke HKL untuk rawatan.

Polis kemudian mengesan pemandu BYD Seal, lelaki berusia 24 tahun, yang dilaporkan tidak berada di lokasi selepas nahas. Dia kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara akibat gegaran otak dan berada di bawah pemantauan pegawai penyiasat.

Sementara itu, pemandu tiga kenderaan lain yang terlibat, masing-masing berusia 28 hingga 37 tahun, tidak mengalami kecederaan.

Mohd Zamzuri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau membahayakan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading