KUALA LUMPUR – Dua anggota polis Cawangan Khas yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, mengemukakan bukti tambahan menerusi laporan polis baharu.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sungai Besi pada 10 Oktober lalu oleh Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40.

Peguam yang mewakili kedua-dua anggota berkenaan, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, berdasarkan laporan tersebut, Mohammad Faiz mendakwa sedang merakam gambar menggunakan telefon bimbit ketika kejadian berlaku di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut mereka, telefon bimbit anak guamnya didakwa dirampas sebelum dia ditahan secara tidak sah, selain mengalami kekasaran fizikal, dipukul dan diugut.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, firma guaman itu memaklumkan bahawa Mohammad Faiz dan seorang lagi anggota, Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Perjalanan, mendakwa dikasari di kawasan awam.

Kejadian itu didakwa menyebabkan kecederaan serta menjejaskan maruah kedua-dua anggota terbabit.

Mereka turut menafikan dakwaan bahawa mereka bertindak sebagai ‘ulat’ atau terlibat dalam kegiatan counter setting.

Dalam perkembangan berkaitan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar sebelum ini dilaporkan berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulangkan kertas siasatan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, seramai 25 individu dilaporkan telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading