KOTA TINGGI – Seorang lelaki ditemukan tidak bernyawa berhampiran pencawang elektrik di Kilometer 21, Felda Adela, menghala ke Sungai Rengit, pada Isnin. Dia dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri kabel elektrik bawah tanah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan itu pada jam 6.46 pagi.
Menurut beliau, mangsa ditemui terbaring kira-kira satu meter dari pencawang elektrik dan sekitar 20 meter dari jalan raya.
Pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Setakat ini, tiada petunjuk awal yang menunjukkan kejadian berkenaan mempunyai unsur jenayah.
Bagaimanapun, polis menemukan beberapa peralatan yang dipercayai berkaitan kegiatan mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan tersebut.
Antara barangan yang dirampas ialah cangkul kecil sepanjang 45 sentimeter, tukul besi, perengkuh paip, mesin canai tanpa wayar serta lampu suluh kepala.
Yusof berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (LMM), manakala siasatan lanjut masih diteruskan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau sedang mencari ahli keluarga yang hilang diminta menghubungi pegawai penyiasat, Ketua Polis Balai Adela, SM Muhammad Aliff Syah Abdullah, di talian 013-7426353.
Maklumat turut boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline IPD Kota Tinggi di 07-8831222.


Leave a Reply