LONDON – Seorang lelaki maut selepas diserang harimau apabila memasuki kandang haiwan pemangsa itu di Taman Hidupan Liar Yorkshire Wildlife, United Kingdom (UK), Sabtu lalu.
Polis South Yorkshire memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku selepas lelaki itu menceroboh kawasan kurungan harimau.
Rakaman video yang tersebar di media sosial memaparkan lelaki terbabit berada di dalam kandang sambil menunjuk ke arah harimau tersebut. Haiwan itu kemudian mengaum sebelum menerkam mangsa.
Lelaki berkenaan cuba menyelamatkan diri, namun harimau itu terus menyerangnya dan menggigit bahagian bahu.
Jurucakap pihak berkuasa berkata, mangsa mengalami kecederaan serius akibat serangan berkenaan.
Pasukan kecemasan yang tiba di lokasi memberikan bantuan, namun lelaki itu disahkan meninggal dunia meskipun usaha menyelamat dilakukan.
Polis turut mengesahkan harimau tersebut tidak terlepas dari kandangnya dan kejadian itu tidak menimbulkan ancaman kepada orang awam.
Susulan insiden berkenaan, pihak zoo menutup premis itu kepada pengunjung pada hujung minggu lalu.
Kejadian tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat, dengan ada pihak mencadangkan harimau itu dibunuh, manakala yang lain berpendapat tindakan lelaki berkenaan menceroboh kandang menjadi punca tragedi.
Bagaimanapun, jurucakap Yorkshire Wildlife Park mengesahkan harimau Amur yang terancam kepupusan itu, dikenali sebagai Altai, berada dalam keadaan selamat dan sihat serta tidak akan dimatikan. -Agensi


Leave a Reply