GURUN – Seramai 14 lelaki, termasuk dua individu bawah umur, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan membunuh seorang remaja berusia 19 tahun yang dilaporkan maut selepas dipercayai dikurung dan didera minggu lalu.

Enam daripada tertuduh ialah Muhammad Asyraaf Muhammad Zaidi, 20, Muhammad Azrul Rahimi Muhamad Yusri, 18, Ahmad Izzul Irfan Ridduan, 21, Muhammad Rhahimy Abdul Rashid, 19, Yusman Hakimi Yusmezal, 24, dan Muhammad Zulfaqar Zulkarnain Khairol Fais, 21.

Lapan lagi tertuduh terdiri daripada Muhammad Aiman Riduwan Abdullah, 21, Ahmad Aiman Danial Ahmad Wizam, 21, Muhammad Adam Haris Rosdan, 21, Muhammad Muqkriz Azizan, 21, Muhammad Adam Iqbal Mohd Wazi, 19, Syafiq Afif Syarafuddin Abd Ghapar, 23, serta dua remaja berusia 16 dan 17 tahun.

Kesemua tertuduh hanya mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, di sebuah rumah tanpa nombor di Jalan Sungai Petani, di sini, dalam tempoh antara pukul 9 malam pada 5 Oktober hingga 7.30 pagi pada 8 Oktober lalu.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah turut diwajibkan menjalani hukuman sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya. Tiga tertuduh, iaitu Muhammad Azrul Rahimi, Ahmad Izzul Irfan dan Muhammad Zulfaqar, diwakili peguam Mohamad Ashraf Ahmad Sohaimi, manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Disember depan bagi sebutan semula kes, termasuk untuk mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Suasana di pekarangan mahkamah turut menyaksikan kehadiran ahli keluarga tertuduh seawal pukul 8 pagi. Beberapa ahli keluarga dilihat menangis serta memanggil nama tertuduh ketika mereka tiba dan selepas dibawa keluar dari mahkamah.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang remaja lelaki dipercayai dilarikan sekumpulan suspek pada 5 Oktober sebelum dikurung dan dipukul di sebuah rumah di Gurun selama kira-kira dua hari.

Mayat mangsa kemudian ditemukan di tepi kawasan semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club pada 8 Oktober lalu.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek susulan aduan penduduk yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading