BEIJING – China mahu memperkukuh dan memperluas kerjasama dengan Malaysia menerusi pemindahan teknologi dan pengetahuan melangkaui pendekatan berasaskan pelaburan semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu antara yang diberikan penekanan dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China, Ding Xuexiang, khususnya dalam usaha memperluas kerjasama strategik pada peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja melibatkan pelaburan oleh syarikat China di Malaysia tetapi turut merangkumi pemindahan teknologi melalui kerjasama dua hala, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sektor kenderaan elektrik (EV).

“Beliau turut mencadangkan beberapa perkara baharu yang harus diterima oleh Malaysia, dengan hasrat China bukan sahaja memindahkan teknologi tetapi juga pengetahuan yang pada hemat saya sangat dialu-alukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke China mengadakan kunjungan hormat ke atas Ding di Dewan Besar Rakyat di sini dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit.

Beliau berkata China turut menyatakan kesediaan meneliti pembiayaan melalui Exim Bank China bagi projek penting di Malaysia yang berimpak tinggi terhadap ekonomi negara.

Ahmad Zahid berkata langkah itu membuka ruang untuk meneliti kemungkinan pembiayaan bagi projek lain selain ECRL, yang melibatkan pelaburan besar serta pinjaman dengan jaminan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan projek baharu yang dibincangkan dan menyerahkan pengumuman mengenainya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tiba masanya.

“Ada beberapa projek yang telah diperbincangkan. Apabila tiba masanya nanti, biarlah Perdana Menteri sendiri yang membuat pengumuman.

“Ada dua perkara (projek) yang pada hemat saya sangat besar yang harus dihubungkan atau dimaklumkan oleh Perdana Menteri sendiri mengenai perkara itu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata hasil perbincangan dengan Ding akan dibawa kepada pengetahuan Anwar untuk maklumat dan pertimbangan, selain dibincangkan dengan Menteri Luar bagi tindakan susulan.

Beliau berkata pertemuan itu turut menyentuh kerjasama pelbagai hala, termasuk sokongan China terhadap usaha Malaysia menjadi anggota penuh BRICS serta harapan Beijing agar Malaysia terus memainkan peranan merapatkan hubungan China dengan negara ASEAN.

— BERNAMA

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading