TEHRAN – Insiden sebuah kapal pengangkut kontena yang tenggelam di Selat Hormuz mencetuskan situasi luar biasa apabila nelayan tempatan dilihat turun ke laut untuk mengumpulkan barangan yang dihanyutkan arus.
Kapal GFS Pride dilaporkan karam bersama lebih 2,500 kontena, sekali gus menyebabkan pelbagai muatan termasuk telefon pintar iPhone, minyak wangi buatan Perancis dan barangan pengguna lain terapung di perairan sekitar Teluk.
Video yang tersebar di media sosial memaparkan beberapa bot nelayan menghampiri barangan berkenaan untuk mengambilnya. Malah, sebuah bot kecil turut dilihat cuba menarik sebuah kontena yang masih berada di permukaan laut.
Kesemua 21 kru kapal berkenaan dilaporkan berjaya diselamatkan.
Kejadian itu berlaku ketika Selat Hormuz terus menjadi laluan maritim berisiko tinggi susulan ketegangan di rantau berkenaan serta ancaman keselamatan terhadap kapal perdagangan yang melaluinya.
Insiden tersebut menarik perhatian ramai apabila barangan elektronik dan produk mewah yang lazimnya dibawa kapal dagang menjadi tumpuan nelayan, dalam suasana perairan yang sering dikaitkan dengan konflik geopolitik dan risiko keselamatan maritim. -Agensi


Leave a Reply