TANJUNG MALIM – Kerajaan Perak menggerakkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) bagi menyelaras operasi agensi dan menilai situasi semasa susulan kejadian ribut serta banjir yang menjejaskan Larut, Matang dan Selama serta Manjung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pusat berkenaan mula beroperasi pada jam 9 pagi Ahad sebagai langkah memperkemas koordinasi pengurusan bencana di peringkat negeri.

Menurutnya, SDCC akan beroperasi sepanjang masa sekiranya bencana melibatkan lebih daripada tiga daerah.

Perkembangan terkini menunjukkan jumlah penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Larut, Matang dan Selama semakin berkurangan.

Setakat jam 8 pagi Isnin, seramai 156 mangsa daripada 50 keluarga masih ditempatkan di PPS, berbanding 482 orang daripada 174 keluarga sehari sebelumnya. Pada masa sama, jumlah PPS yang beroperasi turut menurun daripada lima kepada dua lokasi.

Saarani berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Ketujuh Tahun 2026 di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, pada Isnin.

Bagi daerah Manjung pula, keadaan banjir kilat di tujuh daripada sembilan kawasan terjejas dilaporkan telah pulih, manakala pemantauan masih diteruskan di dua kawasan yang belum surut sepenuhnya.

Dalam menghadapi kemungkinan cuaca buruk berterusan dan ketibaan musim tengkujuh, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut mempertingkat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Sebanyak 6,283 anggota daripada pelbagai agensi telah diselaraskan bersama aset bantuan, termasuk 204 bot dan 439 kenderaan pacuan empat roda, bagi membolehkan operasi menyelamat serta penghantaran bantuan dilaksanakan dengan segera.

Menurut Saarani, pegawai daerah dan pegawai khas Menteri Besar di kawasan terjejas turut turun padang bagi meninjau keadaan serta menyelaras bantuan yang diperlukan penduduk.

Beliau menegaskan kebajikan mangsa perlu terus diberi perhatian, khususnya dari segi bekalan makanan, perlindungan dan keperluan kesihatan, dengan golongan rentan diberikan keutamaan.

Semua agensi berkaitan juga diarahkan supaya mengekalkan tahap kesiapsiagaan dan mempergiat pemantauan di lokasi yang dikenal pasti berisiko.

Penduduk di kawasan terjejas pula dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca, mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri serta keluarga.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading