KUALA LUMPUR – Pengukuhan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain usaha menangani kos sara hidup, terus menjadi antara keutamaan dalam Belanjawan 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan MADANI bukan sekadar melibatkan perancangan kewangan dan pengagihan peruntukan, sebaliknya membawa tanggungjawab untuk meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat.

Menerusi perkongsian di media sosial selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini, beliau berkata, empat belanjawan MADANI terdahulu menjadi asas kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, memperbaiki tatakelola kewangan dan melaksanakan pembaharuan fiskal.

Menurutnya, langkah menyasarkan subsidi, membendung ketirisan serta meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan penting bagi memastikan sumber negara digunakan secara lebih adil dan berkesan.

Anwar berkata, pendekatan sama akan diteruskan menerusi Belanjawan 2027 dengan memberi perhatian kepada bantuan rakyat, pengurangan tekanan kos sara hidup dan peluasan peluang ekonomi supaya manfaat pertumbuhan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan warga Perbendaharaan bahawa setiap ringgit yang diuruskan dan hasil negara yang berjaya diselamatkan membawa tanggungjawab besar kepada rakyat.

Katanya, keberkesanan sesebuah belanjawan tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka kewangan dan kadar pertumbuhan semata-mata, tetapi juga melalui kesannya terhadap kehidupan rakyat serta usaha membina masa depan negara yang lebih adil dan sejahtera.

Dalam perkembangan sama, Anwar menghadiri Majlis Apresiasi Pasukan Belanjawan 2027 bagi menghargai komitmen dan usaha warga kementerian yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan MADANI kelima.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama pasukan berkenaan sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam menjayakan proses penyediaan belanjawan negara.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading