KOTA BHARU – Kedudukan strategik Lembah Sireh yang berhampiran Sungai Kelantan dan mempunyai kemudahan terminal bas menjadikan kawasan itu antara lokasi transit yang dipercayai digunakan sindiket untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) ke destinasi pekerjaan di seluruh negara.

Memetik laporan Kosmo!, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kewujudan Terminal Bas Kota Bharu yang menghubungkan pelbagai destinasi memudahkan pergerakan migran, khususnya pada waktu malam dan awal pagi.

Menurutnya, kemudahan pengangkutan awam di kawasan berkenaan berpotensi dimanipulasi sindiket bagi mengatur perjalanan PATI mengikut jadual tertentu. Beliau berkata, Lembah Sireh terus diberi perhatian pihak berkuasa susulan pengesanan aktiviti kemasukan migran di tebing sungai berhampiran Kampung Lembah Sireh.

Siasatan mendapati kawasan itu menjadi lokasi persinggahan sementara bagi warga asing sebelum mereka meneruskan perjalanan ke tempat lain untuk bekerja.

Ahmad Radzi berkata, hasil soal siasat terhadap seorang lelaki Rohingya yang ditahan di kawasan itu bulan lalu mendapati individu berkenaan bercadang menaiki bas ke Permaisuri, Setiu, Terengganu bagi mendapatkan pekerjaan.

Dalam perkembangan berkaitan, sembilan warga Bangladesh yang ditahan di Wakaf Bharu, Tumpat baru-baru ini turut dipercayai sedang menuju ke Terminal Bas Kota Bharu sebelum meneruskan perjalanan mencari pekerjaan selepas kontrak kerja mereka di Kemboja tamat.

Beliau berkata, kebanyakan migran Rohingya dipercayai membayar kira-kira RM15,000 kepada ejen untuk dibawa masuk ke negara ini, sekali gus menjadikan terminal bas berkenaan antara lokasi yang berpotensi digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan bas ekspres oleh migran tidak bermakna pengusaha atau syarikat bas terbabit turut terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau pemindahan PATI.

Menurutnya, sindiket lazimnya memilih waktu malam dan awal pagi untuk menjalankan kegiatan berkenaan kerana keadaan yang lebih gelap serta kurang mendapat perhatian orang ramai.Katanya, pergerakan bas ekspres keluar dari Kelantan antara pukul 10 malam hingga 10.30 malam turut menjadi antara tempoh yang diberi perhatian dalam pemantauan kegiatan pemindahan migran.

Rekod penguatkuasaan menunjukkan seorang warga Myanmar ditahan di Lembah Sireh kira-kira pukul 10.30 malam pada September lalu.

Dalam kes berasingan pada Mei lalu, dua warga India dan seorang warga Bangladesh turut ditahan di kawasan sama.

Ahmad Radzi berkata, langkah penguatkuasaan di terminal pengangkutan awam perlu dilaksanakan secara berterusan tanpa mengganggu operasi syarikat bas yang menjalankan perkhidmatan secara sah.

Beliau menjelaskan bahawa tumpuan terhadap kawasan itu bukan bermakna terminal berkenaan tidak selamat atau mempunyai kelemahan kawalan, sebaliknya lokasi yang mempunyai kemudahan pengangkutan sedemikian berpotensi menjadi sasaran penyalahgunaan sindiket.

Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti kaedah pembelian tiket bas ekspres yang digunakan PATI, termasuk individu yang menguruskan pembelian serta nama yang didaftarkan pada tiket.

Menurutnya, selain bas ekspres, pelbagai jenis kenderaan juga berpotensi disalahgunakan untuk memindahkan migran dari lokasi kemasukan ke tempat transit sebelum mereka dibawa ke destinasi pekerjaan.

Beliau berkata, PGA akan terus mempergiat rondaan, pemantauan dan operasi berdasarkan keperluan serta maklumat risikan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko menjadi laluan penyeludupan migran.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading