PASIR MAS – Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan merosakkan karpet dengan menyimbah cecair berbau busuk serta menceroboh sebuah masjid di Tumpat, kira-kira dua minggu lalu.

Menurut laporan Kosmo!, tertuduh, Manjesh Singh Shukdev Singh, 38, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memecahkan cermin dan merosakkan karpet masjid dengan menyimbah cecair berbau busuk, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu akan dianggap sebagai penghinaan terhadap agama Islam oleh penganutnya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menceroboh masjid berkenaan dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Tumpat, kira-kira pukul 4.35 pagi pada 5 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Zharifah Insyirah Zahari, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Noor Suhadah Mohamed Ripim.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 November depan untuk prosiding jatuh hukum.

Dalam prosiding berasingan pada hari sama, Manjesh Singh turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine untuk dirinya sendiri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat kira-kira pukul 1 pagi pada 17 Oktober lalu.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Januari depan untuk penyerahan laporan kimia. Bagaimanapun, tertuduh tidak membayar kedua-dua jumlah jaminan tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie, berkata lelaki berkenaan ditahan di Kota Bharu.

Pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid dipecahkan sebelum cecair berbau busuk itu dituang di ruang solat.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading