Ipoh – Penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 45 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli awal pagi tadi, dibenarkan keluar selepas menerima rawatan di Hospital Gerik.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin, mengesahkan kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kematian.
Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima maklumat mengenai kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan, iaitu Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Toyota Vellfire, kira-kira pukul 1.30 pagi.
Kemalangan tersebut melibatkan lapan individu, dengan empat daripadanya mengalami kecederaan manakala empat lagi tidak cedera.
Berdasarkan maklumat awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari arah Jeli menuju ke Gerik hilang kawalan ketika melalui selekoh di permukaan jalan yang basah selepas hujan.
Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Bezza. Myvi berkenaan seterusnya bertembung dengan sebuah Toyota Vellfire yang berada di belakang Bezza tersebut.
Akibat kejadian itu, dua penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan, masing-masing patah tangan kiri dan mengalami pendarahan di kepala. Dua penumpang Toyota Vellfire pula mengalami luka pada bibir serta mengadu sakit di bahagian dada.
Semua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Gerik sebelum dua daripada mereka dirujuk ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mohd. Alwi berkata, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah berselekoh, gelap tanpa lampu jalan dan basah selepas hujan. Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, laporan media menyebut Ustaz Wadi Annuar mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut dalam kejadian tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut memaklumkan bahawa keadaannya stabil walaupun mengalami kecederaan ringan.


Leave a Reply