KUALA LUMPUR – Usaha membantu pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan diteruskan menerusi Tabung Kasih@HAWANA, yang sejak dilancarkan pada April 2023 telah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.61 juta kepada 886 penerima.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pengamal media yang memerlukan sokongan boleh mengemukakan permohonan melalui pejabatnya atau Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), yang menguruskan pelaksanaan tabung itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media Minnal FM di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) turut memperluas jangkauan bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM. Sejak inisiatif itu bermula Jun lalu, sebanyak RM361,300 disalurkan kepada 116 pengamal media.

Dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) TM digunakan bagi menyokong peluasan bantuan kepada lebih ramai petugas media yang memerlukan.

Pada majlis berkenaan, tujuh pengamal media menerima sumbangan susulan masalah kesihatan dan kesempitan hidup. Empat daripada mereka hadir menerima bantuan, manakala sumbangan kepada tiga penerima lain akan disampaikan melalui BERNAMA.

Mereka terdiri daripada Thisaigal S Murugesan, K Padmanabhan, A Amuthan, K Maniam, AS Rajeswaran, Saritha dan Norfazreen Ezny Onn, yang mempunyai pengalaman dalam bidang penerbitan, kewartawanan dan penyiaran.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata program Ziarah Seni MADANI@FINAS turut diteruskan bagi membantu penggiat seni yang menghadapi masalah kesihatan, keuzuran atau kecemasan.

Inisiatif di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu telah memberi manfaat kepada 250 penggiat seni sejak 2023 hingga 25 Oktober lalu, dengan jumlah sumbangan RM180,700.

Lima penggiat seni India turut menerima bantuan menerusi program berkenaan sempena sambutan Deepavali.

Sementara itu, bekas editor Vanakam Malaysia, K Padmanabhan menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan BERNAMA atas bantuan yang diterimanya. Beliau berharap sokongan sedemikian dapat diteruskan demi membantu pengamal media veteran yang pernah menyumbang kepada industri kewartawanan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading