KANGAR – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut, manakala tiga lagi cedera selepas bot dinaiki mereka dipercayai melanggar tembok di kawasan pesisir pantai Sungai Padang, tengah malam tadi.

Kejadian berlaku ketika pasukan berkenaan dikatakan sedang mengejar sebuah bot yang disyaki membawa sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.

Memetik laporan BH Online, insiden kira-kira jam 12.30 tengah malam itu mengorbankan Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang berkhidmat di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kedah/Perlis.

Tiga lagi anggota yang terlibat dalam kejadian itu dilaporkan mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan ketika dihubungi.

Kehilangan Mohd Roshaimi dipercayai hanya disedari selepas rakan setugas mendapati jumlah anggota yang ada tidak mencukupi. Gerakan mencari kemudian dijalankan sebelum mayatnya ditemukan kira-kira sejam selepas kejadian.

Sementara itu, ahli keluarga Allahyarham dilaporkan berada di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, bagi menunggu urusan bedah siasat dan memandikan jenazah diselesaikan.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah selepas proses bedah siasat selesai.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.