JAKARTA – Menteri Penyelaras Hal Ehwal Pangan Indonesia, Zulkifli Hasan, mengingatkan negara-negara jiran supaya tidak terus mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Indonesia berhubung isu kebakaran hutan dan tanah (karhutla) yang menyebabkan jerebu merentasi sempadan.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Indonesia terkenal dengan sikap santun, namun keadaan itu boleh berubah sekiranya usaha kerajaan menangani bencana berkenaan terus dipandang rendah.
Menurut laporan iNews pada 26 Oktober, kenyataan itu dibuat ketika Indonesia berdepan kritikan dari luar negara susulan kesan asap kebakaran yang turut menjejaskan kawasan di negara jiran.
Zulkifli berkata, pelbagai agensi termasuk Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), tentera, polis, kerajaan tempatan dan pasukan sukarelawan sedang berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku.
Usaha berkenaan dilaksanakan melalui operasi pemadaman di darat serta langkah bantuan dari udara bagi mengawal penyebaran api.
Beliau turut mengakui bahawa asap daripada kebakaran tersebut bukan sahaja mengganggu penduduk di Sumatera dan Kalimantan, malah turut memberi kesan kepada masyarakat di luar Indonesia.
Sehubungan itu, beliau meminta negara jiran supaya mengemukakan kritikan dengan menjaga adab diplomatik serta menghormati usaha petugas yang sedang menangani kebakaran.
“Bangsa Indonesia ini santun, tetapi kalau terus dihina, Indonesia boleh marah dan kalau marah, kesannya akan sangat berbahaya,” menurut kenyataan Zulkifli seperti dipetik iNews.
Isu karhutla dan pencemaran jerebu rentas sempadan terus menjadi perhatian serantau apabila kesan kebakaran di Indonesia menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan negara jiran, termasuk Malaysia dan Singapura.
Persoalan itu turut mencetuskan perbincangan mengenai tanggungjawab pihak yang menyebabkan kebakaran serta keperluan memperkukuh kerjasama serantau bagi menangani pencemaran udara.


Leave a Reply