KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengingatkan ibu bapa supaya turut memantau penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) oleh anak-anak, khususnya ketika mereka berada di luar sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Panduan Literasi AI yang diperkenalkan kementerian bertujuan mendidik murid supaya menggunakan teknologi secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Beliau menegaskan KPM memandang serius penyalahgunaan AI untuk memanipulasi gambar murid sehingga menghasilkan kandungan lucah atau bahan yang boleh menjatuhkan maruah mereka.

Menurutnya, usaha membentuk kesedaran dalam kalangan pelajar memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid (PH), di Dewan Rakyat mengenai langkah kementerian menangani isu kemerosotan nilai dalam kalangan murid susulan kes penyuntingan gambar lucah membabitkan pelajar sekolah menengah.

Fadhlina berkata, murid yang menjadi mangsa manipulasi imej menggunakan AI perlu diberikan bantuan psikososial yang mencukupi bagi membantu mereka menghadapi kesan daripada perbuatan itu.

Katanya, selain pendidikan dan usaha meningkatkan kesedaran, tindakan pihak berkuasa juga penting bagi menangani kes seumpama itu.

Beliau menambah, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan untuk memastikan mangsa mendapat sokongan sewajarnya dan penyalahgunaan teknologi berkenaan dapat dibendung dengan berkesan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.