JOHOR BAHRU – Empat lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung kejadian kebakaran sebuah rumah yang didiami warga Rohingya di Kulai pada 13 Oktober lalu.

Yap Tze Hong, 31, Muhamad Amirul Eizlan Masrihan, 28, Muhammad Khairul Abd. Bahrin, 27, dan Chen Jie Ming, 28, bagaimanapun menafikan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mereka dituduh melakukan khianat dengan menggunakan api terhadap sebuah kediaman di Lorong 5, Kulai Besar, sekitar jam 1.30 pagi pada tarikh berkenaan.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Latiff mencadangkan jaminan RM25,000 untuk setiap tertuduh. Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa dua tertuduh memberikan kerjasama ketika ditahan, manakala dua lagi didakwa enggan memberikan kerjasama sehingga polis perlu menggunakan kekerasan.

Pihak pembelaan memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kerana kesemua tertuduh mendakwa tidak mempunyai pekerjaan dengan pendapatan tetap. Mereka juga menyatakan bergantung kepada upah harian dan perlu menanggung keluarga masing-masing.

Yap diwakili G. K. Sritharan, Muhammad Khairul oleh Siti Rashidah Abd. Aziz dan Chen oleh Chon Sin Lim. Muhamad Amirul pula belum diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 bagi Yap dan Chen, sementara Muhamad Amirul serta Muhammad Khairul masing-masing dikenakan jaminan RM10,000.

Selain itu, mereka diwajibkan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes serta urusan pelantikan peguam bagi Muhamad Amirul.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.