KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang dan bebas, sambil menegaskan langkah itu bukan sesuatu yang janggal dalam amalan demokrasi.

Beliau berkata, persefahaman berkenaan mempunyai asas yang pernah digunakan oleh pentadbiran terdahulu, termasuk ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri dan beliau sendiri mengetuai blok pembangkang.

Menurut Anwar, kerajaan tidak menetapkan syarat baharu kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang untuk menyertai persefahaman itu, malah ruang kerjasama terbuka kepada wakil rakyat lain yang bersetuju dengan pendekatan berkenaan.

CSA yang dimeterai di Parlimen pada 29 Oktober lalu melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada kerajaan serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Antara perkara utama dalam perjanjian itu ialah komitmen kerajaan untuk membawa dua reformasi institusi sebelum berakhir penggal Parlimen semasa, iaitu mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan mengasingkan kuasa Peguam Negara daripada fungsi Pendakwa Raya.

Sebagai sebahagian daripada persefahaman tersebut, 13 Ahli Parlimen berkenaan pula bersetuju menyokong pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal semasa, termasuk Belanjawan 2027.

Mereka turut diberikan komitmen peruntukan pembangunan kawasan pada kadar setara dengan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak memegang jawatan dalam Kabinet.

Anwar menjelaskan penyaluran peruntukan itu akan dibuat selepas Belanjawan 2027 diluluskan Parlimen, dengan pelaksanaannya mengikut persetujuan yang telah dimeterai.

Beliau turut menyifatkan CSA berkenaan sebagai landasan untuk memperkukuh kestabilan politik, memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar serta memberi ruang kepada kerajaan meneruskan agenda pembangunan negara.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.