KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menetapkan penugasan baharu Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berikutan proses memendekkan tempoh pelantikannya sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) belum selesai.
Memetik laporan RTM, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya kini menunggu nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung prosedur mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memendekkan tempoh pelantikan berkenaan.
Beliau menjelaskan, sebarang keputusan mengenai penempatan semula Mohd Shuhaily hanya boleh dipertimbangkan selepas proses tersebut dimuktamadkan dan pegawai berkenaan dikembalikan kepada PDRM.
Menurutnya, tindakan seterusnya akan ditentukan berdasarkan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), memandangkan semua pegawai kerajaan tertakluk kepada peraturan perkhidmatan yang berkuat kuasa.
“Masih belum ada keputusan. Apabila beliau kembali kepada saya, barulah kita melihat apakah tindakan seterusnya yang boleh diambil berdasarkan peraturan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia 2026, malam tadi.
Mohd Khalid turut menjelaskan bahawa Mohd Shuhaily merupakan pegawai kader yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mengetuai AKPS.
Justeru, katanya, pemendekan tempoh pelantikan itu perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda sebelum beliau boleh dikembalikan kepada pasukan polis.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan proses berkenaan, namun mengesahkan Mohd Shuhaily akan kembali berkhidmat dalam PDRM selepas urusan tersebut selesai.


Leave a Reply