KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji keperluan melaksanakan kawalan pergerakan terhadap komuniti pelarian Rohingya di Malaysia dengan mengambil kira aspek keselamatan negara, kedaulatan serta hak asasi manusia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu perlu dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh.

Menurut beliau, usaha merekodkan maklumat komuniti Rohingya menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) kini memasuki fasa pertama yang melibatkan individu ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

Katanya, pelaksanaan fasa kedua dijangka dimulakan dalam masa terdekat dengan memberi tumpuan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berada di luar depoh tahanan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri bersama kementerian, jabatan, agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan sedang mengadakan sesi libat urus bagi menyelaraskan pendekatan terhadap isu berkenaan.

Usaha itu bertujuan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan serta merangka langkah bersesuaian dalam menguruskan komuniti pelarian terbabit.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi portal Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung perkembangan komuniti Rohingya, termasuk jumlah yang dikenal pasti, status dokumentasi dan strategi kerajaan menangani isu berkenaan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.