JAKARTA – Sebanyak lapan syarikat yang mempunyai pelaburan dari Malaysia termasuk dalam senarai 97 korporasi yang sedang disiasat pihak polis Indonesia berhubung kes kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di negara itu.

Daripada jumlah berkenaan, sebuah syarikat dikenali sebagai PT RKA telah ditetapkan sebagai suspek korporat, manakala tujuh lagi masih dalam proses siasatan.

Memetik laporan DetikNews, Ketua Badan Reserse Kriminal (Bareskrim) Polis Indonesia, Komjen Asep Safrudin berkata, pihaknya setakat ini sudah menetapkan 20 syarikat sebagai suspek dalam kes berkenaan, termasuk empat korporasi yang mempunyai pelaburan asing dari Malaysia, Singapura dan Korea Selatan.

Empat syarikat terbabit ialah PT HKI dan PT AI yang mempunyai pelaburan Singapura, PT RKA dari Malaysia serta PT API dari Korea Selatan.

Menurut laporan media Indonesia pada 29 Oktober, daripada keseluruhan 97 syarikat yang disiasat, sebanyak 22 mempunyai pelaburan asing, manakala 75 lagi merupakan syarikat bermodal domestik.

Selain Malaysia, siasatan turut melibatkan sembilan syarikat bermodal Singapura, dua dari United Kingdom serta masing-masing sebuah dari China, Jepun dan Korea Selatan.

Polis Indonesia turut memaklumkan bahawa siasatan melibatkan 104 laporan polis berkaitan kebakaran hutan dan tanah yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 29,168 hektar.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa turut mengesyorkan pembatalan lesen operasi terhadap 23 syarikat susulan beberapa pelanggaran yang dikenal pasti, termasuk kejadian kebakaran berulang, kemudahan pemadaman api yang tidak mencukupi serta kebakaran di kawasan konsesi masing-masing.

Asep menegaskan siasatan masih diteruskan dan jumlah syarikat yang dikenakan tindakan sebagai suspek berkemungkinan bertambah berdasarkan perkembangan siasatan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.